Wednesday, 10 August 2011

Sajak: Rumah Kita



Masa hadapan tidak dilukis di atas batu
atau terurai daripada serpihan sejarah
yang takdirnya di makan anai-anai
dalam kesenyapan masa
kita yang terlupa menggenggam
segala yang kita miliki.

Hari ini marilah kita bersatu
membina kehidupan di masa hadapan
dengan kekuatan ratusan tentera berkuda
dipacu daripada kewarasan akal
dalam setiap doa ibu-ibu yang melahirkan
bayi-bayi comel, permata bangsa
penuh kasih sayang -
buat esok seterang mentari memancar sinar
mendakap alam yang tenang.

Tuhan tidak mengubah
nasib hambanya yang sentiasa
takut kehilangan tongkat azimat
ini bumi subur milik kita bersama
aman makmur – beluncas pun
mampu menjelmakan rama-rama
lalu hinggap di pohon bunga raya
milik bonda.

Hari ini ayah dan bonda
semakin tua, marilah kita bertatih
menyelusuri segenap pelusuk ilmu
menggeledah dunia siber
menebas lalang-lalang durjana
yang meracuni laman rumah kami
dengan segala ideologi
terlupa mensyukuri kedamaian dan kemakmuran
yang sentiasa terpaku di kerusi empuk
rumah sendiri.

Di rumah kita ini
keteguhan rukun negara
kepercayaan kepada Tuhan yang Esa
membenarkan kami membina bahagia
dengan cara sendiri
di negara berbagai warna
dan isi.

KAMAL SUJAK
SHDL, MMU CYBERJAYA.
28 September 2010
(Berita Harian, Sabtu 26 Disember 2010)

Nota Aku : Rumahku Syurgaku. Tiada tempat yang menarik selain di rumah sendiri. Jadi warnailah rumah kita dengan keceriaan dan kasih sayang. Semuga kasih sayang kita tidak akan luntur seperti garis putih cinta. 

No comments:

Post a Comment

Like