Assalamualaikum,
Pengalaman saya sebagai Pejuang
Kemerdekaan dan harapan saya kepada rakyat Malaysia dapat disampaikan
dalam surat 1Malaysia ini. Saya Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim @ Kiai
Salleh @ Panglima Salleh dilahirkan di Muar, Johor (1916 – 1959). Makna
perjuangan bagi saya ialah berjuang menentang musuh-musuh negara
terutamanya komunis. Selepas kekalahan Jepun semasa Perang Dunia II
sekitar Ogos 1945 di tangan pihak Berikat, ada terdapat kekosongan kuasa
selama dua minggu sehingga ketibaan askar British. Selepas ketibaan
British bermulanya pentadbiran British di Tanah Melayu. Pada masa
kekosongan kuasa ini komunis telah bermaharajalela di Tanah Melayu dan
sekitar kawasan kelahiran saya di Muar dan Batu Pahat, Johor.
Semasa
saya muda, banyak masa dihabiskan dengan menimba ilmu agama dan ilmu
kepahlawanan seawal usia 13 tahun daripada beberapa orang guru. Antara
guru-guru saya ialah Haji Hussein, Haji Alias, Haji Adam dan Haji
Ahmad. Saya juga turut belajar daripada Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar
Banten yang membawa ajaran Wirid Khaujakan di Johor, selepas mendapat
perkenan Sultan Ibrahim. Saya telah dilantik sebagai ketua kumpulan
Wirid Khaujakan di Batu Pahat, Johor. Ilmu-ilmu agama dan kebatinan ini
banyak membantu saya dalam perjuangan saya menentang musuh-musuh negara.
Peranan
saya telah bermula pada seawal tahun 1942. Akan tetapi, kehadiran
tentera Jepun di Tanah Melayu pada 1941 mula menggugat kehidupan saya
lalu saya berpindah ke Seri Medan Batu Pahat yang menjadi lubuk Parti
Komunis Malaya (PKM) dan seterusnya ke Parit Gantung, dekat Lopiak. Saya
berjaya menyatupadukan dan memimpin penduduk Melayu daerah Daerah Batu
Pahat dari pelbagai suku iaitu suku Banjar, Jawa, Bugis serta Melayu
untuk menentang MPAJA semasa zaman pemerintahan Jepun sehinggalah zaman
Pentadbiran Tentera British (BMA) dan zaman darurat.
Pada zaman
pemerintahan Jepun, komunis menerusi Malayan People Anti-Japanese Army
(MPAJA) masih dianggap sebagai antara pejuang penentang penjajah Jepun
di Tanah Melayu malah mereka turut mendapat sokongan rakyat tempatan.
Saya telah dipelawa oleh Parti Komunis Malaya (PKM) supaya menyertai
pihak itu dan diberi kepercayaan untuk mengutip cukai daripada penduduk
kampung dan peniaga. Saya juga turut diberi sepucuk pistol oleh PKM.
Saya tidak menyerahkan semua pungutan cukai itu kepada PKM sebaliknya
saya telah bertindak seumpama ‘Robin Hood’ apabila mengagihkan pungutan
itu kepada penduduk susah dan miskin. Tindakan itu menyebabkan PKM
berang dan berusaha untuk membunuh saya tetapi tidak berjaya. Dari
sinilah mereka mula melakukan kekejaman ke atas orang-orang kampong.
Sebelum
ketibaan pihak British, pihak Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA)
juga dikenali dengan nama Bintang Tiga. Mereka telah mengambil
kesempatan untuk berkuasa dan bertindak kejam terhadap orang-orang yang
dianggap bekerjasama dengan Jepun. Mereka ini langsung tidak mengenal
mangsa dan menghukum sesiapa sahaja yang dianggap bersalah mengikut
undang-undang mereka. Perbicaraan mereka dibuat di mahkamah yang
dipanggil “
Mahkamah Rakyat” di dalam hutan dan lazimnya mereka yang dibicarakan akan didapati bersalah terus dikenakan hukuman mati.
Saya
mendapati Bintang Tiga memperkenalkan peraturan-peraturan kejam. Antara
peraturan-peraturan tersebut ialah mengutip cukai wang dari penduduk
Batu Pahat berketurunan Melayu, Cina dan India dengan tinggi sekali,
memaksa penduduk tempatan menyerahkan hasil tuaian kepada MPAJA,
merompak hasil tuaian, tanaman dan ternakan penduduk kampong, menculik
wanita muda tidak kira anak dara, janda atau isteri orang untuk
dijadikan anggota komunis dan penggalak zuriat, memaksa penduduk
tempatan menyertai MPAJA dengan tanpa alasan, menyerang kampong dan
membunuh orang awam yang tidak berdosa tanpa alasan, mengadakan Mahkamah
Rakyat yang tidak adil dan melarang orang Islam bersolat berjemaah
dengan alasan membuang masa. Mereka mula mengganas dan menyeksa penduduk
tempatan dengan zalim. Penduduk dibunuh dengan pelbagai cara antaranya
ditanam hidup-hidup, diseksa sampai mati, direbus atau diseret di jalan
sehingga ratusan penduduk menjadi mangsa mereka. Penduduk melayu marah
dan mula bangkit membela diri dan berbunuh balas antara komunis dengan
penduduk kampung semakin memuncak.
Kekejaman komunis
ketika itu bermaharajalela di Tanah Melayu termasuk di kawasan saya di
Batu Pahat dan Muar di Johor. Masyarakat melayu ketika itu tidak
mempunyai kelengkapan senjata api untuk mempertahankan diri, telah
memilih saya untuk memimpin pakatan. Pertemuan saya dengan seorang tokoh
iaitu Haji Kadri akhirnya mula membenihkan semangat juang demi membela
agama, bangsa dan tanah air di dalam sanubari saya. Saya mula bangkit
menentang komunis. Dengan pedang pusaka Raja Riau disisip di pinggangku,
berpakaian serba hitam, saya mula melangkah gagah memasuki gelanggang
perang bersama doa dan bacaan ayat suci yang dibaca berulang kali. Saya
mula memimpin Persatuan Muhammadiah selepas teraju sebelum itu, Ijam
Ahmad menarik diri. Ahli persatuan percaya saya layak berikutan saya
dikenali sebagai seorang yang hebat dalam ilmu persilatan dan tinggi
ilmu batin malah gagah berani mengepalai pasukan perang menentang
komunis.
Saya mula menyusun strategi dan mengumpul anak
muda yang tidak gentar atau lemah semangat untuk bersama-samanya
bertempur. Saya mengajar mereka amalan tertentu bagi menguatkan aspek
kebatinan masing-masing. Serangan demi serangan dilancarkan oleh pasukan
saya yang turut digelar ‘Tentera Selempang Merah’. Dengan berbekalkan
ilmu kebatinan ini, pengikut-pengikut saya saya yang berjumlah seratus
orang sahaja dapat mengalahkan askar Bintang Tiga yang ramai. Serangan
Tentera Selempang Merah terhadap komunis tercetus di seluruh Muar dan
Batu Pahat. Selain berpasukan, saya juga bertindak berani apabila
berbasikal seorang diri hampir setiap malam semata-mata untuk mencari
komunis bagi dibunuh dan dicantas kepalanya. Di bawah bimbingan saya
semangat perjuangan di kalangan penduduk ketika itu amat berkobar-kobar
dan mereka mula merancang satu serangan besar-besaran terhadap komunis
di Bandar Penggaram, Batu Pahat. Tentangan hebat yang diberikan oleh
pejuang-pejuang saya digeruni komunis sehinggakan mereka tidak berani
lagi bermaharajalela dan menganiaya penduduk sekitar daerah berkenaan
sesuka hati. Saya sendiri sanggup ‘turun padang’ untuk bertempur dan
memerangi sendiri askar komunis dan bukan sekadar memberi arahan atau
memerintah. Saya juga berani mati malah sanggup mempertaruhkan darah dan
nyawa saya sendiri demi membela agama dan bangsa.
Sumbangan
dan peranan saya yang kecil itu berjaya menyekat kegiatan komunis pada
masa itu secara berkesan. Sultan Johor telah berkenan bertitah bahawa
saya ialah "Panglima Melayu" ketika itu dan mengurniakan darjah
kebesaran. Setidak-tidaknya sumbangan saya melalui semangat juang
‘mengamuk’ itu berguna menentang pengkhianat negara itu bagi
mempertahankan maruah bangsa kita.
Harapan besar saya
untuk rakyat Malaysia di hari ini supaya terus berjuang mempertahankan
tanah air kita daripada anasir subversif dan penjajahan bentuk baru
walau dengan darah dan nyawa sekalipun.
Sekian, Wassalam.
 |
Panglima Salleh di tengah2 |